SULAIMAN (dua dari kiri) dan Zamree melancarkan kemudahan pembiayaan selepas memeterai perjanjian kerjasama, semalam.
SULAIMAN (dua dari kiri) dan Zamree melancarkan kemudahan pembiayaan selepas memeterai perjanjian kerjasama, semalam.
Suffian A Bakar

KUALA LUMPUR: AmBank Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) memeterai kerjasama strategik dengan Proton Edar Sdn Bhd bagi menyediakan akses pembiayaan menerusi Jaminan Portfolio (PG) CGC bernilai RM100 juta untuk pengedar kenderaan Proton.

Ia ditawarkan secara eksklusif kepada pengedar Proton yang layak untuk memudahkan mereka menaik taraf kemudahan kepada pusat 3S dan 4S.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, menerusi kerjasama dengan Proton Edar, pihaknya berhasrat untuk melengkapi komitmen menyediakan penyelesaian pembiayaan dan pengurusan tunai eksklusif kepada pengedar.

“Upacara ini menyoroti kemajuan kerjasama strategik antara AmBank dan CGC. Kami melihat pertumbuhan positif dengan kerjasama PG dijalankan bersama CGC melalui perbankan runcit dan perniagaan.

“Melangkah ke depan, kami akan bekerjasama dengan Proton Edar untuk penyelesaian pembayaran dan kutipan terutama dengan pengedar,” katanya pada majlis pertukaran dokumen antara AmBank dan CGC bagi pengaturan PG di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi CGC Datuk Agil Natt, Pengerusi AmBank Voon Seng Chuan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Sulaiman berkata, ia adalah kemudahan pinjaman berjangka antara RM1 juta hingga RM3 juta dengan 70 peratus pinjaman dijamin CGC manakala fi jaminan diserap AmBank.

Pengedar boleh mengemukakan permohonan mulai 18 Januari yang mana permohonan akan diproses berasaskan siapa cepat dengan peruntukan dihadkan pada RM100 juta.

Mohd Zamree berkata, kerjasama itu penting kepada AmBank dan CGC kerana PG khas ini menyediakan akses kewangan untuk pengedar kereta Proton menaik taraf kemudahan ke pusat 3S & 4S.

“CGC berbangga menjadi sebahagian kerjasama ini untuk menyokong Proton, satu jenama penting dalam industri automotif Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:30 AM