DR Jomo bersama wakil media pada Bicara Makan Tengahari Malaysia Baharu: Peranan Media di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
HM Digital

Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) wajar dibatalkan sekiranya ia membabitkan lebih banyak kerugian, sebaliknya menumpukan perhatian yang lebih mendalam terhadap pembangunan sosioekonomi di pantai timur.

Pakar Ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, pembangunan pengangkutan sedia ada di pantai timur, seperti laluan darat dan udara, sudah memadai tanpa memerlukan kereta api laju.

“Projek itu tidak (akan) memajukan pantai timur, jadi yang nak dikatakan (pembatalan ECRL) akan mengabaikan Pantai Timur, sebenarnya ini satu helah yang digunakan oleh pihak tertentu untuk selamatkan projek palsu.

“Dari dulu lagi projek itu direka untuk mendapatkan keuntungan dan kekayaan bagi pihak tertentu, mungkin dengan tujuan untuk menutup penipuan dan kerugian 1MDB,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada Bicara Makan Tengah Hari Malaysia Baharu: Peranan Media bersama editor dan pengamal media semalam.

Sesi bual bicara itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein, Pengurus Besar Perniagaan Digital dan Pembangunan The New Straits Times Press (NSTP), Azizi Othman, Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Eksekutif The New Straits Time, Muzli Mohd Zin.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan dalam status masih berunding.

Sementara itu, Prof Jomo berkata, kuasa politik dan media di negara ini perlu diasingkan.

Beliau berkata, ini kerana media yang merdeka dan mengutamakan tanah air adalah alternatif terbaik untuk masa depan negara.

“Malangnya, media negara hari ini dikuasai oleh kepentingan kekayaan dan kuasa politik.

“Sepatutnya, media perlu melaporkan apa sahaja isu dengan jujur dan biar pembaca menilai sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sejauh mana kerajaan baharu hari ini dapat menerima kewartawanan penyiasatan, Jomo berkata, ruang bagi bidang berkenaan adalah penting dan perlu diperjuangkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:04 AM