PADA usia warga emas, kebanyakan sudah habis membayar pinjaman rumah atau tinggal bersama anak-anak.

Sofyan Rizal Ishak

[email protected]

ANGGARAN perbelanjaan minimum sebanyak RM3,090 sebulan bagi pasangan warga emas seperti yang ditetapkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dianggap mencukupi terutama jika memiliki anak yang bekerja dan turut memberi sumbangan kepada perbelanjaan bulanan mereka.

Pengasas Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, anggaran yang ditetapkan untuk setiap jenis perbelanjaan golongan terbabit dianggap kurang tepat berikutan kebanyakan daripada mereka dilihat tidak memperuntukkan jumlah tinggi untuk setiap kategori perbelanjaan itu.

“Sebagai contoh, kebanyakan pasangan warga emas tidak memiliki kadar pemakanan yang tinggi di mana anggaran RM850 untuk perbelanjaan makanan dilihat kurang tepat dan begitu juga RM700 untuk perumahan kerana mereka lazimnya sudah memiliki rumah sendiri yang sudah habis dibayar atau mungkin tinggal bersama anak,” katanya.

Minggu lalu, KWSP dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya melancarkan Buku Panduan Belanjawanku yang memberi anggaran perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barang dan perkhidmatan yang diperlukan setiap isi rumah bagi taraf hidup selesa.

Untuk pasangan warga emas, anggaran perbelanjaan yang ditetapkan adalah RM3,090 sebulan membabitkan perbelanjaan seperti RM850 untuk makanan, RM700 (rumah), RM500 (pengangkutan), RM290 (utiliti) dan RM130 (penjagaan kesihatan).

Beliau berkata, dia melihat anggaran perbelanjaan RM2,500 dengan andaian rumah serta kereta yang habis dibayar adalah mencukupi untuk sara hidup terutama untuk mereka yang tiada sebarang penyakit berat.

“Paling penting, keupayaan berbelanja dan lokasi pasangan warga emas adalah perkara utama untuk menilai kecukupan bagi setiap kategori perbelanjaan mereka dengan latar belakang serta gaya hidup sebelum bersara dan jumlah anak yang bekerja harus diambil kira,” katanya.

Rohani berkata, pasangan warga emas perlu merancang awal untuk pasca persaraan mereka dan harus mengenal pasti keperluan serta garis ukur jumlah perbelanjaan selepas bersara sebaik mungkin.

“Sebaiknya, wang caruman KWSP dilaburkan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi menjana pendapatan selepas bersara kelak. Jika tiada keperluan, laburlah sehingga 50 peratus daripada jumlah yang anda dapat supaya tidak berlaku ‘pemborosan’,” katanya.

Garis panduan simpanan minimum RM240,000 yang ditetapkan KWSP untuk individu berumur 55 tahun bersara dengan selesa dilihat relevan dan ia perlu diurus dengan baik supaya jumlah itu mencukupi untuk menampung kehidupan pasca persaraan.

“Jika wang ini tidak dilabur dan hanya digunakan untuk kos sara hidup selama 20 tahun pasca persaraan maka hanya RM1,000 sebulan boleh digunakan.

“Jika sebahagian daripada wang simpanan ini (contoh 50 peratus atau RM120,000) dilaburkan dengan contoh kadar pulangan tujuh peratus setahun, maka ia mampu menjana pendapatan tambahan RM8,400 setahun atau RM700 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:42 AM