MODEL Lumix S Series baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Azzman Abdul Jamal

KUALA Lumpur: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) melancarkan dua model Lumix S Series baharu iaitu S1R dan S1, kamera tanpa cermin lensa tunggal digital (DSLM) full frame pertamanya untuk pasaran tempatan.

Pengurus Besar Digital Imaging Group Panasonic Appliances Marketing Asia Pasifik, Koichiro Watanabe, berkata kedua-dua kamera itu hadir dengan sensor CMOS full frame 35mm dan dibangunkan berdasarkan standard L-Mount.

Katanya, Lumix S Series itu disasarkan kepada golongan profesional yang mempunyai kemampuan menghasilkan kualiti imej terbaik menerusi gandingan resolusi tinggi, penggredan dan penghasilan warna yang mengagumkan.

“Sistem fokus auto (AF) berkelajuan dan ketepatan tinggi berdasarkan teknologi kawalan canggih pada lensa, sensor dan enjin Venus baharu membolehkan pengguna merakam objek disasarkan dengan lebih pantas.

“Model terbaharu ini juga mempunyai prestasi rakaman video terbaik dalam kelasnya dengan kemampuan merakam video gerakan perlahan 4K 60/50 bingkai sesaat (fps) selain dilengkapi kawalan intuitif, dua slot kad memori, reka bentuk rugged dan ketahanan tinggi untuk kegunaan lasak,” katanya pada majlis pelancaran Lumix S Series, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengulas lanjut, Watanabe berkata, model Lumix S1R dilengkapi sensor CMOS full frame 36mm x 24mm 47.3 megapiksel (MP), tahap resolusi tertinggi untuk kamera tanpa cermin full frame.

“Ia juga mempunyai mod High Resolution yang memberi keupayaan menangkap gambar dengan 187 MP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:05 AM