ADNAN Zaylani pada sidang media sempena Karnival Kewangan Terengganu 2019.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA TERENGGANU: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini terus mendapat akses pembiayaan apabila lebih 123,000 permohonan pembiayaan PKS telah diluluskan membabitkan RM307 bilion disalurkan kepada PKS sepanjang 2018.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, BNM akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan industri kewangan untuk memastikan PKS yang memerlukan layak untuk mendapat pembiayaan.

Katanya, PKS adalah salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan pembiayaan penting untuk menyokong pertumbuhan PKS.

“PKS adalah salah satu segmen pelanggan yang penting kepada institusi kewangan, merangkumi 87 peratus daripada jumlah akaun pembiayaan perniagaan.

“Tahun lalu, lebih 123,000 permohonan pembiayaan PKS telah diluluskan dengan secara puratanya tiga daripada empat permohonan diluluskan dan sebanyak RM307 bilion pembiayaan telah dikeluarkan kepada PKS sepanjang 2018 menerusi institusi kewangan,” katanya di Karnival Kewangan Terengganu 2019 di sini, semalam.

Menurutnya, BNM juga telah berusaha membangunkan ekosistem pembiayaan PKS yang holistik, disokong pelbagai produk pembiayaan Islam dan antara inisiatif utama termasuk skim pembiayaan mikro, jaminan kredit, platform pembiayaan atas talian imSME, Tabung BNM untuk PKS, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Kaunter PKS.

“Di bawah Skim Pembiayaan Mikro, usahawan boleh memohon pembiayaan sehingga RM50,000 dengan mudah, cepat dan senang, tanpa cagaran serta keperluan dokumen minimum.

“Selain itu, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) turut menyokong perusahaan kecil yang berdaya maju bagi memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan, sebagai alternatif atau gantian kepada cagaran,” katanya.

Beliau berkata, PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah daripada kadar pasaran di bawah Tabung BNM untuk PKS, khususnya untuk perniagaan yang kekurangan cagaran dan syarikat permulaan.

“Dengan jumlah peruntukan sedia ada RM3.3 bilion, PKS daripada semua sektor ekonomi, termasuk sektor pertanian dan perusahaan mikro boleh memohon pembiayaan di mana-mana cawangan bank.

“Setakat ini, lebih 80,000 PKS telah dibantu di bawah tabung ini, dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sebanyak RM31 bilion sejak ditubuhkan pada tahun 80-an,” katanya.

Adnan berkata, pihaknya percaya pendidikan kewangan dan ilmu pengurusan kewangan juga adalah penting bagi PKS membuat keputusan kewangan bijak dan bertanggungjawab.

“Karnival Kewangan yang diadakan ini juga sebagai inisiatif kami untuk memberi ilmu kewangan bukan saja kepada PKS, malah orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:01 AM