SULAIMAN pada sidang media mengumumkan Inisiatif Merangsang Pertumbuhan PKS dan Cabaran Keusahawanan AmBank BizRACE, semalam.
Nurhayati Abllah


AMBANK Group menyasarkan pengagihan pinjaman berjumlah RM20 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha merangsang pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, sasaran itu sejajar dengan empat strategi utama AmBank yang melaksanakan beberapa inisiatif bertujuan memacu pertumbuhan PKS.

“AmBank Group akan terus menyokong PKS melalui pembiayaan iaitu perkara yang sangat diperlukan mereka. Pada masa sama, kami juga sedar akan keperluan mereka dalam menggerakkan operasi syarikat pada masa depan menerusi penyediaan dana.

“Menerusi inisiatif yang berorientasikan PKS, kami akan memberi penumpuan kepada pelanggan kami, dari peringkat permulaan hingga ke pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO),” katanya pada sidang media mengumumkan Inisiatif Merangsang Pertumbuhan PKS dan Cabaran Keusahawanan AmBank BizRACE di sini, semalam.

Sulaiman berkata, pada 2018 AmBank Group sudah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM6.14 bilion bagi PKS iaitu peningkatan 30.6 peratus berbanding RM4.7 bilion pada 2017.

Terdahulu, beliau berkata, AmBank BizRACE yang kini memasuki musim kedua adalah satu platform yang disediakan AmBank Group bagi memberikan peluang dan ilmu pengetahuan tambahan dalam mengembangkan perniagaan PKS.

Penganjuran kali ini turut menawarkan pelbagai ganjaran bernilai RM2 juta untuk dimenangi dan ia terbuka kepada PKS yang mempunyai perniagaan lebih setahun, pendapatan tahunan yang diperoleh kurang daripada RM100 juta dan merangka skala serta mencari cara mengembangkan perniagaan diceburi.

Bagi musim ini, AmBank BizRACE menerima hampir 2,000 penyertaan.

AmBank BizRACE menerima rakan kongsi rasmi termasuk Kumpulan Media Prima, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, EY dan MasterCard.

Program itu disokong rakan media seperti The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Ripple dan Rev Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:22 AM