X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nabil Basaruddin


LEMBAGA Tabung Haji (TH) kini berada dalam landasan tepat untuk mencatatkan prestasi kewangan lebih cemerlang selepas berdepan pelbagai isu membabitkan tadbir urus sebelum ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Fuziah Salleh berkata, pihaknya yakin dengan barisan kepimpinan Lembaga Pengarah dan pengurusan TH baharu, yang diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik dan cekap.

Beliau berkata, dengan keyakinan itu, beliau yakin bahawa dana pengurusan haji itu mampu untuk kembali bangkit dan melaksanakan mandat asalnya dalam membantu sebagai tabung kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah haji.

“TH kini berada pada landasan tepat yang mana ia disokong oleh Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan berkebolehan dan berkemampuan.

“Mereka yang baharu dilantik ini dilihat berkemampuan dalam memahami Akta Tabung Haji, memiliki pengetahuan dalam kewangan Islam dan berintegriti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Pengurusan Kekayaan dan Perancangan Kewangan Islamik ke-6 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan TH yang dilanda dengan pelbagai isu dan kemelut itu.

Jumaat lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018, membabitkan bayaran berjumlah RM913 juta kepada 9.3 juta pendepositnya.

Agihan berkenaan boleh dilakukan selepas prestasi kewangan TH pada tahun lalu memenuhi dua syarat, iaitu mempunyai keuntungan boleh agih serta aset melebihi liabiliti mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Malah, TH juga berjaya melaksanakan penstrukturan semula kedudukan kewangannya dan mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Sementara itu, Fuziah berkata, pihaknya kini sedang mempertimbang untuk mengehadkan pendaftaran menunaikan haji kali kedua bagi mengurangkan tempoh menunggu menunaikan haji.

Katanya, ketika ini tempoh giliran bagi ibadah haji mengambil masa sehingga 117 tahun dan terdapat kira-kira tiga juta orang yang mendaftar untuk menunaikan ibadah itu.

Pihaknya juga yakin tidak akan berlaku pengeluaran mendadak secara besar-besaran daripada pendeposit TH pada masa ini.

“Kami sudah memantau situasi itu sejak Disember tahun lalu, dan menegaskan keadaan sedemikian tidak berlaku ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:40 AM