(DARI kiri) Pengasas merangkap CEO Kumpulan OYO Hotels & Homes, Ritesh Agarwal; Wann; dan Gulati.

RANGKAIAN hotel, kediaman dan ruang kehidupan, OYO Hotels & Homes (OYO) bersetuju untuk mengambil alih @Leisure Group yang berpangkalan di Amsterdam daripada syarikat media dan teknologi, Axel Springer.

Pengambil alihan ini akan membantu usaha OYO dalam merealisasikan visinya untuk menjadi jenama hartanah global selain mengekalkan kepimpinan dalam industri hospitaliti.

Ketua Pegawai Strategi Global OYO, Maninder Gulati berkata, @Leisure Group membawa pengalaman penginapan yang menakjubkan kepada pengembara dari

seluruh dunia dengan menawarkan mereka kediaman, kotej dan taman-taman percutian indah di lebih 300 bandar seluruh Eropah, merentasi Kokelv, Norway ke Zahara de los Atunes, Sepanyol.

Menerusi jenama miliknya Belvilla, DanCenter dan Danland, @Leisure Group menyediakan lebih 30,000 kediaman percutian yang diuruskan sepenuhnya merentasi 13 negara di Eropah.

Sementara itu, menerusi jenama Traum-Ferienwohnungen, ia menawarkan perkhidmatan pengurusan kediaman berasaskan langganan dengan lebih 85,000 rumah di 50 buah negara.

“Bersama @Leisure Group, pasukan dan keupayaan syarikat berkenaan, kami melihat OYO melangkah lebih jauh dalam merealisasikan misinya dalam mewujudkan pengalaman kehidupan berkualiti kepada pengembara harian.

“Melalui pengambilalihan ini, serta-merta saiz dan skala peluang terbuka lebih luas bagi perniagaan kediaman OYO. Pada hari ini, lebih 2.8 juta individu dari lebih 118 buah negara membuat tempahan percutian mereka bersama @Leisure Group pada setiap tahun. Gabungan kekuatan kedua-dua jenama akan mampu menggandakan skala peluang yang ada,” katanya.

Beliau turut mengumumkan CEO @Leisure Group, Tobias Wann akan menyertai kepimpinan OYO sebagai CEO Vacation Homes OYO Global.

"Beliau akan bersama saya untuk mengubah perniagaan kediaman OYO

kepada sebuah sewaan kediaman rumah bandar dan percutian terkenal di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 6:38 PM