Skip this ad x
GOKHAN (kanan) mencuba permainan di kedai konsep Maxis di Gardens Mid Valley yang dilancarkan, semalam. FOTO Saifullizan Tamadi
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) memperkenalkan kedai konsep serba baharu di pusat beli-belah Gardens Mid Valley yang menawarkan pengalaman perkhidmatan digital pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, dengan reka bentuk baharu dan teknologi canggih, kedai konsep itu menawarkan interaksi menarik, relevan dan bermanfaat kepada pelanggan.

Beliau berkata, antara pembaharuan yang ditampilkan termasuk skrin digital berteknologi tinggi, kaunter khidmat pelanggan seperti kafe, kaunter demonstrasi peribadi, robot dan aplikasi layan diri.

“Kedai konsep baru ini penting untuk merealisasikan cita-cita jangka panjang syarikat yang dibina berdasarkan tiga fokus utama.

“Antaranya adalah memenuhi gaya hidup digital pelanggan, memberikan pengalaman berbeza dan mengembangkan budaya inovasi serta kecekapan.

“Pengenalan kedai konsep ini bukan sahaja sebagai tanda aras bagi industri telekomunikasi, malah ia menjangkaui sektor runcit secara keseluruhannya,” katanya pada majlis pelancaran kedai konsep itu di sini, semalam.

Kedai konsep Maxis itu mempunyai enam ciri yang bakal menjadi pencetus kepada pengalaman interaksi digital kepada pelanggan seperti Pembantu Runcit Interaktif Maxis (MIRA) di mana pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR pada skrin digital.

Ciri lain di kedai konsep itu adalah aplikasi penemuan untuk peranti demonstrasi, skrin digital gergasi dan 11 unit skrin 98 inci, analisis runcit, RFID dan titik jualan mudah alih serta biometrik tanpa wayar.

Gokhan berkata, kedai itu menawarkan pelbagai servis kepada pelanggan dari segmen perusahaan runcit yang selari dengan tumpuan syarikat untuk membantu peruncit memodenkan pengalaman di atas dan luar talian mereka menerusi penyelesaian e-dagang.

“Ini membolehkan peruncit berpeluang menawarkan pengalaman digital dan peribadi kepada pelanggan seterusnya menjadi lebih berdaya maju dan mengukuhkan perniagaan,” katanya.

Selain itu, katanya, Maxis sentiasa menjalin kerjasama dengan jenama terkemuka bagi melengkapkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh melalui acara dan aktiviti istimewa.

“Pada bulan ini, kedai ini menampilkan zon permainan Razer dan pelanggan juga boleh menyertai pertandingan permainan mudah alih terkini serta memenangi hadiah menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 8:28 AM