Nabil Basaruddin


Huawei Central hari ini mendedahkan gergasi telekomunikasi Huawei telah membangunkan dan mempunyai sistem operasi sendiri yang dikenali sebagai ‘Hongmeng’ yang dimulakan sejak 2012.

Menurut Huawei Central, syarikat pengeluar telefon pintar yang berpangkalan di China itu juga sudah mula menggunakan perisian terbabit namun ia hanyalah disebalik tabir.

Malah, sumber Huawei Central itu berkata, nama ‘Hongmeng’ itu hanya sekadar nama kod atau nama yang berkait rapat dengan sistem operasi itu dan nama sebenar sistem operasi itu tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, setakat ini, Huawei masih belum memberi maklum balas mengenai laporan ini namun telah menjangkakan penggantungan sokongan oleh Google dan Android sebelum ini memandangkan syarikat itu sedang membangunkan pengganti sistem pengendalian Android.

Huawei Central adalah salah satu sumber utama berita Huawei yang menyediakan liputan berita Huawei paling komprehensif dan mendalam mengenai telefon pintar, tablet, komputer riba, aplikasi dan teknologi mudah alih. Ia bekerjasama rapat dengan Huawei dalam menyampaikan maklumat berkaitan produk keluaran Huawei.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan oleh akhbar Jerman, Die Welt pada beberapa minggu lalu, syarikat itu berkata, sistem operasi sendiri itu adalah sebagai alternatif sekiranya Huawei disekat sepenuhnya daripada menggunakan produk buatan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Richard Yu dipetik sebagai berkata, pihaknya telah menyediakan sistem operasi sendiri dan bersedia sekiranya berlaku sebarang sekatan.

Gergasi internet AS, Google yang menguasai pasaran telefon pintar dengan sistem operasi mudah alih Android, memutuskan hubungan bersama firma China, Huawei yang dikatakan ancaman negara oleh Washington.

Selain larangan perkhidmatan Google pada peranti Huawei, AS turut melarang kerjasama antara syarikat teknologi besar lain seperti Qualcomm, Intel dan NVIDIA.

Huawei kini menggunakan sistem operasi Android untuk peranti pintar, dan Windows untuk komputer riba serta tablet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:25 PM
GAMBAR hiasan.