EDOTCO bakal perkenal menara telekomunikasi diperbuat daripada buluh hujung tahun ini. FOTO Halimahton
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: edotco Group Sdn Bhd (edotco), syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu bakal memperkenalkan menara telekomunikasi yang diperbuat daripada buluh di Malaysia pada hujung tahun ini.

Sebagai permulaan, anak syarikat Axiata Group Bhd itu akan membina satu menara telekomunikasi buluh bagi tempoh percubaan sebelum merancang untuk membina menara buluh yang lain.

Pengarah Kejuruteraan dan Teknologi Kumpulan edotco, Kumari Nalini berkata, projek menara telekomunikasi berasaskan buluh mula dilaksanakan di Bangladesh pada 2017 dan ia dilihat memberi kesan positif khususnya dari aspek kos dan bahan binaan.

Katanya, penggunaan buluh bagi membina menara telekomunikasi juga banyak membantu dalam mengurangkan sehingga 70 peratus pelepasan karbon sepanjang proses pembinaan menara itu.

“Kami akan bekerjasama dengan peladang tempatan bagi mendapatkan buluh tempatan dengan kualiti terbaik supaya ia dapat menampung dan menjadi menara telekomunikasi yang kukuh sama seperti besi.

“Malah, beberapa penyelidikan juga dijalankan bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menggunakan buluh daripada jenis Semantan.

“Di Malaysia kami juga menggunakan struktur gentian karbon untuk sembilan menara telekomunikasi dan sekiranya ia dilaksanakan dengan buluh, ia dapat memberi pengurangan kos pembinaan menara hingga 30 peratus,” katanya pada taklimat media mengenai Kemampanan Menara Telekomunikasi di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Seksyen Jabatan Pengurusan Sistem Pensijilan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Radziah Mohd Daud.

Pembinaan menara telekomunikasi menggunakan buluh itu dimulakan di Dhaka, Bangladesh pada 2017 oleh Kumpulan edotco dan sehingga kini terdapat 15 menara telekomunikasi buluh di negara itu.

Kumari berkata, edotco percaya perniagaan mempunyai peranan penting dalam memenuhi agenda nasional iaitu untuk mengurangkan pelepasan karbon sehingga kadar 45 peratus.

Menurutnya, menerusi inovasi, industri dapat mewujudkan teknik, proses dan produk baharu yang dapat menyumbang kepada kesan alam sekitar yang lebih baik seperti mengurangkan risiko perubahan cuaca.

“Kelestarian ke arah perniagaan yang hijau sentiasa menjadi agenda kemampanan edotco melalui reka bentuk menara mesra alam dan masa depan dunia telekomunikasi cekap tenaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:21 AM