AZLAN rancang melebarkan sayap ke Vietnam menjelang 2020.
Sri Ayu Kartika Amri


AMPANG: Kamal & Kamal Pest Control Sdn Bhd (Kamal & Kamal Pest Control) merancang untuk membuka cawangan di setiap negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengurus Besarnya, Azlan Kamal Hussein Kamal berkata, setakat ini pihaknya memiliki rangkaian di Kuala Lumpur (ibu pejabat), Shah Alam, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

Menurutnya, syarikat juga akan membuka cawangan baharu di Pulau Pinang pada tahun ini dan melebarkan sayap ke pasaran Vietnam menjelang 2020.

“Visi lima tahun kami adalah untuk memastikan setiap negeri memiliki cawangan Kamal & Kamal Pest Control dan bagi 2020 hingga 2023, kami akan menembusi pasaran Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kamal & Kamal Pest Control yang ditubuhkan sejak 1985 itu berpengalaman dalam perkhidmatan kawalan serangga dan mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, Kamal & Kamal Pest Control menawarkan pakej perkhidmatan bermula RM420 setahun untuk kediaman dan sehingga RM2,000 bergantung kepada saiz rumah.

“Kami memberi jaminan dari dua hingga lima tahun selepas perkhidmatan di samping menggunakan bahan kimia yang mesra alam,” katanya.

Azlan berkata, pihaknya juga menyasarkan perolehan sebanyak RM5 juta pada tahun ini.

“Kami berada di landasan tepat untuk mencapai perolehan bagi 2019 dan tahun lalu, kami juga mencatatkan 100 peratus sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Kamal & Kamal Pest Control, orang ramai boleh melayari laman web, www.kamalandkamal.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:30 AM