ANNA Choi./
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Cathay Pacific, syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong melihat Malaysia sebagai pasaran penting dan mempunyai potensi untuk menjadi penyumbang pertumbuhan syarikat penerbangan itu.

Pengurus Negara bagi Malaysia dan Brunei, Anna Choi berkata, Cathay Pacific mencatat prestasi baik di Malaysia dengan muatan penumpang melepasi 50 peratus membuktikan syarikat penerbangan itu sentiasa mendapat perhatian dan permintaan di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian syarikat itu dan berharap dapat menawarkan perkhidmatan penerbangan lebih baik pada masa hadapan kepada penumpang dari negara ini.

“Meskipun wujud banyak persaingan dalam dunia penerbangan komersial ketika ini, kami optimis dan akan melakukan terbaik untuk terus kekal berdaya maju dalam pasaran.

“Malaysia adalah pasaran yang stabil bagi syarikat ini dan kami gembira dengan apa yang diraih bagi operasi di negara ini, setakat ini.

“Kami berusaha untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik serta penawaran harga tambang kompetitif kepada penumpang,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di sini, baru-baru ini.

Anna berkata, syarikat penerbangan itu mempunyai sejarah panjang bersama Malaysia dengan penerbangan pertamanya ke negara ini pada 11 Ogos 1957, sekali gus menandakan kehadirannya selama 62 tahun di sini.

Menurutnya, Cathay Pacific ketika ini mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Hong Kong dengan kekerapan empat kali sehari manakala dari Pulau Pinang pula, dua kali sehari ke negara itu.

“Kami juga mempunyai perkhidmatan penerbangan kargo dari Pulau Pinang ke Hong Kong dengan kekerapan tiga kali sehari,” katanya.

Penumpang dari Malaysia yang terbang ke destinasi di luar Hong Kong akan terbang dengan Cathay Dragon ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) di mana mereka boleh menggunakan penerbangan Cathay Pacific atau Cathay Dragon ke destinasi mereka.

Cathay Pacific dijangka mengembangkan rangkaiannya dengan Hong Kong sebagai pusat sambungan ke semua destinasi antarabangsa lain.

Anna berkata, pada tahun ini, Cathay Pacific melancarkan penerbangan ke Seattle, Amerika Syarikat dan Komatsu, Jepun yang akan berlepas dari HKIA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:40 AM