ORANG ramai melihat pameran rumah daripada pelbagai syarikat pemaju.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Bank seharusnya memberikan akses kepada pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memacu perkembangan ekonomi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia berikutan tahap kesihatan kewangan isi rumah semakin beransur pulih dengan kadar keberhutangan isi rumah berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) jatuh kepada 83 peratus pada 2018 daripada 83.8 peratus pada 2017.

“Hasil perkembangan ini, pengguna kini mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan, atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi termasuk pemilikan aset jangka masa panjang,” katanya.

Secara purata, Lim berkata, hutang isi rumah bersandarkan jumlah aset yang bersesuaian dan menurut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), kadar aset kewangan isi rumah ialah 2.1 kali hutang isi rumah.

Katanya, ini menunjukkan bahawa isi rumah secara purata memiliki lebih banyak aset daripada hutang, yang memberikan mereka penampan yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembiayaan.

“Namun, kerajaan menyedari bahawa isi rumah berpendapatan rendah mudah terjejas apabila mengalami kejutan dan benar-benar memerlukan bantuan untuk meningkatkan kekuatan kewangan mereka.

“Kerajaan berjaya melakukan perkara ini dengan menambah baik program pemindahan wang Bantuan Sara Hidup (BSH), memperkenal skim insurans kesihatan awam percuma mySalam dan menstabilkan harga petrol dan diesel,” katanya.

Menurut Lim, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 7 Mei 2019 untuk memotong Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus daripada 3.25 peratus juga mengurangkan kos pinjaman dan pengurangan ini disalurkan sepenuhnya oleh bank kepada peminjam.

“Kerajaan juga meminta BNM untuk mengingatkan semua bank agar tidak mengklasifikasikan pinjaman oleh perusahaan yang tidak menghadapi masalah membayar balik pinjaman, tetapi mahu menstruktur dan menjadualkan (R&R) semula pinjaman kepada tempoh yang panjang untuk menambah baik aliran tunai mereka, sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL),” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, kerajaan tekad memastikan harga barangan asas terkawal dan memandang berat peningkatan harga simen seperti yang dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:45 AM