RANGKAIAN perniagaan Kedai Serbaneka Super Jimat RM2.10.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kumpulan The Store memperkembangkan rangkaian perniagaannya dengan memperkenalkan Kedai Serbaneka Super Jimat RM2.10.

Lebih 2,000 produk ditawarkan merangkumi peralatan dapur, alat tulis, kelengkapan pencuci, produk penjagaan badan, aksesori kecantikan, produk bayi, makanan ringan serta kelengkapan elektrik pada RM2.10.

Kumpulan The Store dalam kenyataan berkata, pihaknya sedar akan masalah peningkatan kos sara hidup yang membawa tekanan kepada orang ramai.

“Pembukaan Kedai Super Jimat RM2.10 ini dapat meringankan beban pengguna.

“Pelanggan tidak perlu lagi membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, tetapi hanya membeli apa yang perlu saja. Ia dapat menjimatkan kos pembelian dan mengelakkan pembaziran,” katanya.

Ketika ini Kedai Super Jimat RM2.10 beroperasi di Sungai Siput, Perak, Jerantut, Pahang, Tampin, Negeri Sembilan, Kulim, Kedah dan Shah Alam.

Katanya, pihaknya akan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Selain kedai serbaneka berkenaan, Pasar Raya The Store dan Pasar Raya Besar Pacific juga menyediakan Zon Super Jimat RM2.10 bagi membolehkan pelanggan menikmati penjimatan hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 10:16 AM