LEE (kanan) menunjukkan aplikasi Fingo pada pelancaran platform Fingo, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Fingo (M) Sdn Bhd (Fingo), operator pasaran e-dagang mudah alih dalam talian berhasrat untuk menarik penyertaan 500,000 ahli aktif bagi platform pasaran e-dagangnya iaitu Fingo menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Sing berkata, pada masa ini platform itu sudah disertai 200,000 ahli aktif yang berpeluang untuk mengakses pilihan barangan meluas dan pembekal berkualiti daripada beberapa jenama pasaran e-dagang terkemuka China serta membuka peluang keusahawanan baharu di Malaysia melalui sistem ganjaran ahli.

“Kami optimis mampu untuk mencapai sasaran itu dan menjangkakan jumlah itu akan membantu kami dalam mencapai matlamat untuk menjadi antara tiga platform e-dagang sosial teratas di Malaysia dalam tiga tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran platform Fingo, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Dr Ong Kian Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fingo, Dong Fang.

Fingo adalah platform pasaran e-dagang pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan model perniagaan sosial dan dibangunkan khusus untuk memperkasakan ahlinya dengan menggunakan platform pembekal kepada perniagaan kepada pengguna (S2B2C).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 8:15 AM