GOH (dua dari kiri) pada pelancaran pembayaran tanpa sentuh Visa kedai dobi Cleanpro, semalam.
GOH (dua dari kiri) pada pelancaran pembayaran tanpa sentuh Visa kedai dobi Cleanpro, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Cleanpro Laundry Holdings Sdn Bhd (Cleanpro), rangkaian kedai dobi layan diri tempatan memperkenalkan perkhidmatan tanpa sentuh bagi mesin basuh dan pengering layan dirinya di 300 cawangan Cleanpro Express seluruh negara.

Inisiatif terbaharu itu membolehkan orang ramai menggunakan kad debit dan kredit Visa bagi pembayaran di semua cawangan Cleanpro Express termasuk cawangan Aladin Dobi dan Ibu Sayang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Goh Sen Kiat berkata, Cleanpro adalah jenama kedai dobi layan diri pertama yang menggunakan dan menerima pembayaran tanpa sentuh di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Visa Malaysia ini memberi kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan untuk melakukan pembayaran tanpa perlu menggunakan token atau syiling bagi menggunakan mesin basuh dan pengering,” katanya pada media selepas pelancaran pembayaran tanpa sentuh Visa untuk rangkaian kedai dobi Cleanpro di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Cleanpro, Lim Chee Kiang dan Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon.

Beliau berkata, pelaksanaan pembayaran tanpa sentuh itu bukan saja akan terus meningkatkan imej Cleanpro di pasaran malah memberi kemudahan kepada syarikat untuk menganalisis dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai transaksi pembayaran di cawangan kedai dobi layan dirinya.

“Kami adalah pelopor kepada dobi layan diri di Malaysia dan oleh itu, kami sentiasa fikir mengenai teknologi baharu yang dapat memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Selepas ini, kami berhasrat untuk bekerjasama dengan institusi perbankan kerana mereka turut menawarkan kaedah pembayaran sama melalui kad debit masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Cleanpro merancang untuk membuka sebanyak 50 cawangan kedai dobi layan dirinya di rantau Asia Tenggara pada tahun ini.

Goh berkata, pada masa ini syarikatnya memiliki 300 cawangan Cleanpro Express di seluruh negara dan 100 cawangan lagi di pasaran luar negara membabitkan Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, Brunei.

Menurutnya, Malaysia dan Thailand adalah pasaran utama bagi syarikat di mana mereka menyasarkan purata pembukaan sebanyak lima cawangan sebulan untuk Malaysia dan 10 hingga 15 cawangan sebulan (Thailand).

“Kami optimis mampu untuk mencatatkan peningkatan pertumbuhan jualan sebanyak 20 peratus bagi tahun ini berikutan industri dobi layan diri di negara ini menawarkan potensi amat besar terutama di luar Lembah Klang yang masih belum diterokai sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:54 AM