MAXIS Berhad adalah pembekal perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI.
OGUT
Nabil Basaruddin


Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi kukuh didorong perniagaan mudah alih terasnya yang berdaya tahan dan seiring dengan strategi konvergens yang dilaksanakan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, syarikat itu mencapai kemajuan yang baik dalam melaksanakan pelan pertumbuhan lima tahun bagi menjadi syarikat perkhidmatan digital konvergens terunggul di Malaysia.

Katanya, syarikat itu juga berhasrat untuk terus mengekalkan kepemimpinan dalam perniagaan teras mudah alih yang dijalankan ke arah pertumbuhan fasa seterusnya.

“Maxis menyaksikan pergerakan ke hadapan dalam impian konvergens untuk suku kedua tahun ini menerusi pelancaran kelajuan fiber terbaharu yang memberikan penyelesaian pintar sejajar dengan agenda ekonomi digital kerajaan dan potensi 5G pada masa depan.

“Untuk tujuan ini, percubaan langsung 5G kami berjalan lancar dan kami terus berada di hadapan dalam membawa teknologi terbaharu ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Maxis mencatatkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) pada tempoh dikaji RM947 juta serta peningkatan pendapatan perkhidmatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM1.887 bilion daripada RM1.876 bilion pada suku pertama tahun ini.

Ogut berkata, syarikat itu turut merekodkan pertumbuhan konsisten dalam pelanggan pascabayar dan fiber serta penstabilan berterusan dalam segmen prabayar.

“Pertumbuhan itu didorong terutama oleh permintaan yang kukuh untuk proposisi sambungan berkongsi yang menarik dan rancangan pemilikan peranti inovatif dari Maxis,” katanya.

“Kami juga meningkatkan perniagaan dalam menyediakan penyelesaian konvergens di semua segmen dengan pelancaran perkhidmatan NB-IoT komersial pertama di pusat pasaran utama Internet Benda (IoT),” katanya.

Tambahnya, Maxis turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Digital Malaysia (MDEC) untuk mempromosikan pembangunan ekosistem tempatan.

Dalam pada itu, Ogut berkata, pihaknya terus komited untuk meningkatkan pengalaman jalur lebar optik dengan tiga kelajuan terbaru, iaitu 300Mbps, 500Mbps dan 800Mbps.

Malah, katanya, syarikat itu melaksanakan pelaburan berterusan dalam kapasiti rangkaian untuk menyokong pertumbuhan trafik data yang dijangkakan.

“Ia termasuklah pertumbuhan dari kediaman fiber dan Enterprise dan pelaburan modal bagi suku semasa ialah RM267 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 7:15 AM