YEO (dua dari kiri) bersama Dr Lim (tiga dari kiri) dan Pengerusi Mr DIY, Datuk Azlam Shah Alias. FOTO Roslin Mat Tahir
hmdigital

SHAH ALAM: Top Glove Corporation Bhd memperkenalkan produk sarung tangan biohijau, Biodegradable Nitrile berikutan permintaan tinggi daripada pasaran global, khususnya dalam sektor kesihatan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, ketika ini Top Glove mengeluarkan 50 peratus produk sarung tangan biohijau dan tidak menolak kemungkinan peratusan itu akan terus dipertingkatkan.

“Kami percaya kelestarian alam sekitar tidak boleh dipisahkan daripada perniagaan yang mapan dan menyedari ia menjadi tanggungjawab memberi impak positif kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian produk sarung tangan itu serta majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mr DIY Group Bhd dan WWF Malaysia di sini.

Majlis dirasmikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Sementara itu, Wee Chai berkata, Top Glove menyasarkan pertumbuhan pendapatan dua angka bagi tahun kewangan 2020, berdasarkan pertumbuhan permintaan dalam industri sarung tangan sebanyak 10 peratus setahun dan mempunyai potensi untuk terus berkembang.

Beliau berkata, sejak penyenaraian kumpulan pada 2001, kadar pertumbuhan tahunan pendapatan selepas cukainya meningkat sekitar 21 peratus.

Katanya, tahun kewangan 2020 dilihat mampu memberi prospek lebih positif kepada jualan produknya, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai pengeluar sarung tangan.

“Pertumbuhan kukuh pada tahun kewangan akan datang membolehkan kami mencapai sasaran penguasaan pasaran dalam pengeluaran sarung tangan global sebanyak 30 peratus pada tahun hadapan berbanding 26 peratus ketika ini.

“Selain itu, pengenalan produk baharu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan kumpulan yang menumpukan kepada produk mesra alam akan turut membantu sasaran itu. Kumpulan juga memperuntukkan RM60 juta perbelanjaan modal bagi pelaburan R&D bagi menghasilkan produk yang mesra alam seiring dengan kehendak global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:43 AM