REDZUAN f hadir sempena Majlis Persidangan Kepimpinan SME 2019 di Pusat Dagangan Mines, Mines Resort City, Seri Kembangan. FOTO/ZULFADHLI ZULKIFLI
Nabil Basaruddin


RAKYAT Malaysia berpeluang untuk menyaksikan keunggulan kereta terbang hasil sepenuhnya anak tempatan yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang itu yang sedang dibangunkan oleh syarikat usahawan negara ini di Jepun kini pada peringkat 85 peratus siap sebelum ia dapat diuji kecanggihannya di ruang udara.

Beliau berkata, ia dibina di Jepun berikutan negara terbabit lebih terbuka dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan sedemikian.

"Projek ini adalah hasil titik peluh usahawan tempatan kita yang mana ia berada pada tahap kemajuan 85 peratus pembangunannya.

"Saya sendiri telah melihat sendiri proses prototaip ini dibina. Pada September depan juga saya akan menghadiri Persidangan Sektor Penerbangan di Nagoya, Jepun dan berharap dapat melihat kereta terbang yang hampir siap ini.

"Ia dijangka dapat siap pada tahun ini, namun untuk melancarkannya di ruang udara Malaysia, kita perlu memastikan kesediaan ekosistem dahulu atau kita perkenalkan dahulu di sana dan biar mereka cuba dahulu ciptaan anak Malaysia ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Persidangan Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2019 di Seri Kembangan, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, usaha untuk mewujudkan kereta terbang terbabit adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh sektor swasta sebagai usaha untuk lebih berdaya maju serta berinovasi.

Menurutnya, pihak kerajaan tidak mengawal peserta industri dan mereka berhak untuk melakukan apa saja dalam merancakkan industri ini.

"Bagaimanapun, sebagai kerajaan, penting kepada kami untuk mewujudkan industri ini. Oleh itu, pihak MED mengadakan perbincangan menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan seperti penerbangan, pengangkutan, perbankan dan insurans.

"Malah, kita turut mewujudkan jawatankuasa khas di mana ia adalah antara usaha MED dalam mewujudkan ekosistem industri ini untuk pastikan kita lebih bersedia untuk berdepan dengan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:04 PM