MCDONALD’S Bukit Bintang menukar papan tandanya kepada Mekdi sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. FOTO fail NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri


MCDONALD’S Malaysia menukar papan tanda restorannya di Bukit Bintang kepada Mekdi, slanga tempatan bagi singkatan perkataan McD.

Cawangan berkenaan juga adalah restoran McDonald’s yang pertama di Malaysia dan dibuka pada 1982.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai berkata, nama Mekdi akan digunakan untuk tempoh sementara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Sepanjang 37 tahun, rakyat Malaysia telah membantu membangunkan jenama McDonald’s Malaysia seperti yang dikenali hari ini.

“Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan pelanggan, kami telah memutuskan untuk menerima pakai nama panggilan mesra Mekdi yang diberikan kepada kami, di mana ia kini sinonim dengan jenama McDonald’s,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sempena meraikan Bulan Kebangsaan, McDonald’s Malaysia menyambut segala yang berkaitan Malaysia dengan memperkenalkan Nasi Lemak McD, hidangan kegemaran ramai rakyat Malaysia dalam versinya tersendiri.

Malah, menyedari populariti nasi lemak di kalangan rakyat Malaysia, McDonald’s Malaysia juga memulakan petisyen di seluruh negara di laman web Change.org supaya nasi lemak diiktiraf secara rasmi sebagai hidangan kebangsaan Malaysia, dengan sasaran mengumpul 1 juta tandatangan menjelang Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:15 PM