OGUT (tengah) bersama Sim (kanan) pada sidang media ‘Maxis IoT Challenge Pitch Day’. FOTO Rohanis Shukri
OGUT (tengah) bersama Sim (kanan) pada sidang media ‘Maxis IoT Challenge Pitch Day’. FOTO Rohanis Shukri
hmdigital

KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) menyifatkan acara Maxis IoT Challenge Pitch Day adalah sambutan kepada kreativiti dan inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya berpendapat acara berkenaan memberi peluang untuk menyaksikan cabaran yang membuka potensi dalam dua aspek, iaitu peserta dan teknologi.

“Jelas terdapat keperluan untuk memacu teknologi digital dalam banyak industri, dan kami mahu memainkan peranan untuk membantu memajukan agenda ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, cabaran itu yang dilancarkan pada Mei lalu dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menyasarkan untuk menggalakkan pembangunan ekosistem penyelesaian Internet Benda (IoT) dalam kalangan syarikat untuk menggalakkan ekonomi digital Malaysia.

Ogut berkata, dalam cabaran itu, 20 peserta akhir mengemukakan prototaip penyelesaian mereka kepada panel hakim industri, dengan sembilan peserta akhir membentangkan idea mengenai bandar pintar, tujuh mengenai pertanian dan empat mengenai pembuatan.

Tiga pemenang utama menerima hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, RM10,000 dan RM5,000.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, teknologi seperti IoT mempunyai potensi yang besar untuk mengubah dan memodenkan sektor pertanian, terutamanya subsektor agro makanan dan komoditi perindustrian.

Beliau berkata, susulan kerajaan bergerak ke arah ekonomi digital dan melaksanakan Industri 4.0, terdapat keperluan untuk menerima pakai teknologi ini untuk membawa sektor pertanian ke tahap lebih tinggi.

Katanya, kementerian baru-baru ini mewujudkan dua jawatankuasa membabitkan sektor agroteknologi dan ekonomi digital dalam pertanian bagi membawa teknologi baharu seperti IoT dan mekanisasi dalam sektor itu.

“Kami turut merancang untuk mewujudkan permintaan bagi hasil pertanian dengan mewujudkan platform melalui ekonomi digital untuk menangani kenaikan harga produk makanan di peringkat pengguna dan harga peringkat ladang yang dikawal disebabkan orang tengah meraih keuntungan yang banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:57 AM