GAMBAR hiasan
Sofyan Rizal Ishak


DEWAN Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa kerajaan untuk membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan beragama Islam.

Presidennya, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna dengan status halal sesuatu produk.

Menurutnya, gesaan terbabit adalah antara resolusi yang dicapai MCED melalui perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dalam industri termasuk usahawan.

"Kami berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan dan kami menggesa mereka untuk bertindak kerana ia didapati pernah disalah gunakan.

"Ia seolah-olah tulisan jawi itu digunakan untuk mensucikan kandungan yang tidak halal dan ini amat mengelirukan pengguna,” katanya kepada media pada program ‘Local Marketer Conference’ di Shah Alam, hari ini.

Program yang menghimpunkan seramai 120 usahawan itu diadakan bertujuan menyatukan sebanyak mungkin pasar mini dan pasar raya besar seluruh negara serta menghubungkan secara langsung usahawan yang mempunyai produk kepada platform ini tanpa melalui orang tengah.

Beliau berkata, MCED selaku badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa bergerak bagi membantu usahawan dan menjadi pemangkin antara usahawan dan agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:21 PM