SANTHARUBAN (kanan) bersama Tan pada pelancaran kopi terbaharu Wonda, semalam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Etika Sdn Bhd (Etika), pengedar minuman kopi jenama Wonda menyasarkan peningkatan 10 peratus menerusi pengenalan produk terbaharunya, minuman pracampur Kopi Premium Wonda 3-dalam-1 untuk tempoh 12 bulan pertama.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, Santharuban T Sundaram berkata, sebagai peneraju dalam segmen minuman sedia diminum (RTD), pengenalan produk minuman pracampur ini adalah pertama kali seumpamanya diperkenalkan oleh Etika dan pertama di dunia bagi jenama Wonda.

Beliau berkata, usaha untuk melancarkan produk berkenaan adalah sebagai langkah dalam memperluas lebih banyak capaian pengguna selain mengukuhkan kehadiran jenama Wonda dalam segmen kopi pracampur.

“Menikmati secawan kopi sentiasa menjadi kegemaran rakyat Malaysia setiap hari menjadikan kami mengambil inisiatif untuk menawarkan produk minuman pracampur ini di pasaran tempatan.

“Kami sentiasa komited dalam berinovasi dengan varian kopi baharu dan dengan pertumbuhan sihat untuk segmen RTD, kami yakin produk terbaharu ini dapat membantu mengembangkan jenama Wonda.

“Sebagai permulaan, kami menjangkakan ia dapat menyumbang peningkatan jualan sehingga 10 peratus dalam tempoh setahun pertama selepas ia mula dijual di pasaran,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kopi terbaharu Wonda dengan kerjasama Shopee di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Kategori Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Menerusi usaha sama itu, Wonda turut melancarkan laman rasminya di platform e-dagang Shopee khusus buat peminat setia kopi itu.

Santharuban berkata, Shopee yang juga rakan kongsi runcit bagi produk ini adalah platform yang tepat bagi jenama itu untuk menarik lebih banyak pelanggan pada masa hadapan.

“Orang ramai boleh menikmati tawaran hebat untuk produk ini bermula 22 hingga 24 Ogos yang mana 300 pelanggan pertama berpeluang untuk mendapat diskaun RM5 bagi setiap pembelian.

“Promosi pengenalan yang berlangsung selama tiga hari ini adalah untuk memberi makluman mengenai produk baharu ini kerana ia hanya boleh dibeli melalui Shopee buat masa ini,” katanya.

Selain Wonda, antara jenama lain yang berada di bawah Etika adalah Pepsi, Tropicana, Mountain Dew, Revive Isotonic, Mirinda, 7UP, Lipton Ice Tea, MUG, Gatorade, Kickapoo.

Produk lain yang dimiliki syarikat itu juga termasuklah Goodday Milk, Calpis, Dairy Champ, Chill Asian Drinks dan Bleu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:48 AM