PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan peningkatan jualan keseluruhan sebanyak 8.0 peratus bagi suku kewangan berakhir 30 Jun 2019.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) PDB berkurangan kepada RM237.6 juta disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih rendah selain perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, di tengah-tengah persekitaran pasaran yang mencabar, pihaknya terus meningkatkan jumlah jualan melalui pelbagai strategi yang dijalankan.

“Ia adalah bukti kukuh keberkesanan strategi kami selain kualiti produk yang ditawarkan.

“Bagaimanapun, kami menyedari impak harga minyak dunia yang tidak menentu selain keadaan ekonomi dan sentimen pengguna akan memberi kesan kepada prestasi kewangan kami.

“Menuju ke hadapan, fokus utama kami adalah untuk meningkatkan jumlah jualan,” katanya.

Bagi suku yang berakhir 30 Jun 2019, jumlah jualan perniagaan runcit meningkat sebanyak lapan peratus disebabkan oleh produktiviti stesen yang lebih baik, peningkatan bilangan stesen dan jumlah yang lebih tinggi didaftarkan untuk PETRONAS Primax 95 baru dengan Pro-Drive.

Katanya, pihaknya menjangkakan pasaran akan terus mencabar tetapi ia dibantu pertumbuhan jumlah dengan memanfaatkan minyak dan pelincir yang baru dilancarkan, rangkaian bekalan, pengedaran dan stesen yang luas.

“Kami juga komited untuk meningkatkan keuntungan dengan memanfaatkan perkongsian strategik bagi mengembangkan penawaran bukan bahan api.

“Kami akan terus meningkatkan daya tampung stesen dengan menyediakan pengalaman pelanggan yang lancar melalui inovasi digital seperti Setel dan RoVR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:22 PM