HARGA kediaman apartmen servis dilapor menurun sebanyak 8.2 peratus. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: iProperty.com Malaysia Sdn Bhd mendapati kediaman jenis apartmen servis akan terus menjadi pilihan pengguna berbanding kediaman jenis lain terutama kondominium.

Menurut laporan data analisis iProperty.com.my bagi separuh pertama 2019, rumah jenis apartmen servis mengalami pertumbuhan permintaan yang paling ketara sebanyak 14.7 peratus bagi separuh pertama 2019.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia, Premendran Pathmanathan berkata, peningkatan itu berikutan median harga bagi apartmen servis menurun sebanyak 8.2 peratus kepada RM490,000.

Katanya, jenis kediaman terbabit juga lebih mampu milik biarpun berada di pusat bandar.

“Kediaman apartmen servis mempunyai daya tarikan tersendiri terutama apabila ia dibina di lokasi yang tepat serta mempunyai akses pengangkutan awam dan pusat komersial.

“Kami percaya permintaan terhadap jenis kediaman ini akan terus meningkat jika berada di lokasi strategik,” katanya di taklimat data analisis iProperty.com.my separuh pertama 2019 di sini, semalam.

Analisis ini memberi pandangan makro secara telus mengenai trend permintaan mengikut kunjungan pengguna portal hartanah dan data penyenaraian hartanah kediaman di pasaran Malaysia dengan tumpuan khusus di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Laporan berkenaan juga disertakan dengan data tambahan yang dikumpulkan daripada brickz.my bertujuan untuk menyediakan maklumat bagi rujukan pembuat polisi dan pemaju hartanah.

Sementara itu, permintaan terhadap pasaran perumahan di Pulau Pinang dan Johor masing-masing menurun sebanyak 4.4 dan 16.1 peratus.

Manakala bagi bandar utama, Kota Bharu mendahului senarai yang mendapat permintaan disebabkan pangsapuri di kawasan itu berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.

Buat masa ini, apartmen servis mewakili tiga peratus penguasaan pasaran kediaman sekunder.

Selain itu, permintaan rumah teres mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus. Walaupun harga rumah teres dalam median RM300,000 namun permintaan bagi jenis kediaman ini rendah sedikit berbanding kondominium dan apartmen servis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:25 AM