PINJAMAN pembelian kediaman kekal pemacu utama pertumbuhan hutang isi rumah.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Tahap hutang isi rumah secara keseluruhan kekal tinggi pada 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan pinjaman pembelian kediaman kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan hutang.

Berdasarkan Tinjauan Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM)-Separuh Pertama 2019, aset kewangan isi rumah agregat juga berkembang pada kadar lebih cepat daripada hutang, seterusnya mengekalkan penampan aset kewangan isi rumah pada 2.2 kali hutang.

Menurut BNM, meskipun kebanyakan isi rumah mampu membayar balik hutang mereka dengan selesa, masih ada segmen yang kekal berisiko.

“Kejadian mungkir yang lebih tinggi dilihat dalam kalangan peminjam pinjaman perumahan yang lebih terdedah kepada ketidaktentuan pendapatan.

“Walaupun bahagian hutang isi rumah yang dipegang peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan terus menurun sejak beberapa tahun ini, leverage peminjam ini terus meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, BNM berkata, hal ini sebahagian besarnya disebabkan akses kepada pinjaman perumahan yang lebih mudah di bawah pelbagai skim yang diperkenalkan sejak kebelakangan ini.

Bank pusat itu berkata, kumpulan peminjam berkenaan masih terdedah kepada kesukaran kewangan memandangkan penampan kewangan mereka untuk menghadapi potensi kejutan adalah terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:30 AM