LEONG (dua dari kanan) bersama Liee (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Madam Loan, semalam.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Syarikat hartanah terkemuka, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) komited dalam membantu orang ramai khususnya golongan milenial untuk memiliki rumah dengan mudah melalui platform Madam Loan.

Madam Loan adalah platform pendidikan yang menggunakan chatbot yang dikuasakan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama RinggitPlus yang akan membantu pengguna mendapatkan khidmat rundingan berkaitan permohonan pinjaman perumahan.

Pengarah Strategi dan Operasi Kumpulan Mah Sing, Rachel Leong berkata, platform Madam Loan juga dilengkapi pelbagai fungsi serta maklumat penting mengenai kewangan bagi memiliki hartanah kediaman.

Beliau berkata, pembeli rumah juga berpeluang untuk mendapatkan penjelasan mengenai jenis dan harga rumah bersesuaian dengan kadar kemampuan masing-masing hanya melalui perbualan secara chatbot di platform Madam Loan.

“Pengenalan platform seperti ini mampu memberi titik perubahan kepada sektor hartanah tempatan dan usaha ini juga adalah penting bagi meningkatkan pengalaman pembelian rumah dalam kalangan pelanggan Mah Sing.

“Melalui platform Madam Loan, selain mendapatkan maklumat mengenai status kelayakan pinjaman dan jenis hartanah, pengguna juga boleh memilih rumah daripada 50 projek yang dimiliki Mah Sing.

“Platform ini sebenarnya bertujuan membantu pembeli rumah pertama terutama golongan muda memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman sebelum ini,” katanya pada majlis pelancaran Madam Loan di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liee Ooi Hann.

Leong berkata, selain memberi bantuan khidmat rundingan kelayakan pinjaman perumahan, pengguna juga boleh membuat permohonan terus kepada bank melalui platform ini.

Menurutnya, chatbot akan menyediakan pengguna dengan kiraan jumlah pinjaman bersesuaian yang mereka dapat daripada bank.

“Kiraan berkenaan menggunakan formulasi dan had nisbah perkhidmatan hutang terkini daripada pihak bank bagi memastikan ia memberi bantuan kepada pemohonnya,” katanya.

Setakat ini, pemohon boleh membuat pinjaman daripada empat bank melalui platform Madam Loan iaitu Citi Bank, Standard Chartered, HSBC dan Bank of China.

Selain itu, Leong berkata, pengguna yang mempunyai kekangan kewangan turut akan dibantu melalui cadangan untuk mendapatkan skim bantuan kerajaan terpilih bagi membeli projek rumah Mah Sing mengikut kemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:30 AM