ANTHONY (tengah) melawat ruang pameran di HOC-MAPEX 2019, semalam.
Nabil Basaruddin


KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mencadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melonggarkan syarat wajib lot tempat letak kereta bagi projek perumahan dari jenis apartmen dan kondominium.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan unit kondominium dan apartmen baharu tanpa  lot tempat letak kereta itu juga akan membantu mengurangkan harga rumah.

Katanya, cadangan terbabit dilihat antara langkah tepat untuk mengurangkan harga hartanah seterusnya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan memberi manfaat kepada pembeli rumah.

Menurutnya, inisiatif seumpama ini boleh dilaksanakan kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang berada berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti MRT dan LRT.

“Pemaju rumah pada masa ini wajib menyediakan tempat letak kereta apabila membina rumah apartment dan kondominium dan ia menjadi sebahagian daripada kos rumah itu.

“Sebagai cadangan, sekiranya syarat itu dijadikan sebagai pilihan, mungkin harga rumah boleh direndahkan dan pada masa sama ia dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX 2019) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon dan Pengerusi Penganjuran HOC-MAPEX, Datuk Ng Seing Liong.

Anthony berkata, perkara terbabit bukanlah keputusan dasar tetapi hanya cadangan yang boleh diberi perhatian oleh pihak KPKT untuk diperhalusi secara lebih mendalam.

“Mungkin untuk permulaan, kita boleh wujudkan projek rintis berdekatan dengan fasiliti pengangkutan awam bagi menilai cadangan ini sama ada ia boleh digunakan atau tidak pada masa hadapan.

“Jika pemaju diberi kelonggaran syarat untuk tidak menyediakan tempat letak kereta, ia akan menjadikan harga rumah menjadi lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, Soam berkata, sebagai contoh, kos untuk bina tempat letak kereta di Kuala Lumpur sekarang ini adalah RM50,000 dan kebanyakan apartmen yang dibina menawarkan dua lot tempat letak kereta.

“Jadi, jika tempat letak kereta tidak disediakan, kos pembinaan rumah akan lebih murah dan ia akan menurunkan harga rumah,” katanya.

Sementara itu, HOC-MAPEX 2019 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Oktober di Pusat Pameran Mid Valley menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung.

Pameran itu turut menampilkan 48 pemaju hartanah, empat institusi kewangan dan lapan agensi kerajaan yang menawarkan hartanah kediaman dan komersial di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:56 AM