SANDEEP (kiri) dan Yazid pada Anugerah Pilihan Graduan 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
hmdigital

KUALA LUMPUR: AirAsia dipilih sebagai majikan terbaik dalam kategori e-dagang dan khidmat perkongsian pada Anugerah Pilihan Graduan 2019, baru-baru ini.

Anugerah itu adalah anugerah penjenamaan majikan Malaysia terkemuka yang mengenal pasti perbezaan dalam sektor swasta dan industri sumber manusia.

Ia bertujuan meningkatkan kadar pengambilan kerja graduan Malaysia, membantu belia mencapai potensi penuh mereka dan memperkasakan pemimpin akan datang.

Ketua Pegawai Insan dan Kebudayaan Kumpulannya, Varun Bhatia berkata, syarikat itu bukan saja mencari kemahiran dan pengalaman namun mencari pekerja yang mampu menerapkan nilai syarikat di mana syarikat mengambil 4,600 Allstars secara global tahun lalu.

“Kami bangga diiktiraf dalam kategori e-dagang selama dua tahun berturut-turut iaitu kategori yang sudah lama kami usahakan terutama apabila AirAsia kini berubah menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan terkemuka.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan 25,000 graduan yang mengundi kami,” katanya.

Anugerah terbabit disampaikan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, Pemegang Amanah Talentbank, Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail dan Pengasas Talentbank, Ben Ho kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Asia Tenggara (AASEA), Sandeep Devgon dan Ketua Bahagian Penyelesaian Insan dan Kebudayaan di Jabatan Insan dan Kebudayaan AirAsia, Yazid Misnan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:33 AM