Skip this ad x
hmdigital

KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi operasi mantap pada suku ketiganya yang berakhir 30 September 2019 dengan pertumbuhan hasil perkhidmatan yang didorong oleh perniagaan teras berdaya tahan, purata hasil perkhidmatan yang stabil dan momentum positif dalam penyelesaian konvergen.

Syarikat itu juga mencatatkan faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta margin EBITDA yang sihat dengan pertumbuhan aliran tunai operasi bebas yang kukuh menyokong dividen interim ketiga bersih 5 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gökhan Ogut berkata, prestasi suku ketiga adalah kukuh dengan banyak unsur positif dalam segmen perniagaan syarikat.

Katanya, matlamat konvergen syarikat berada di landasan yang tepat dan ia juga telah maju dengan baik dalam strategi pertumbuhan perusahaan dengan menjalin kerjasama yang kukuh, dan terus membina asas fiber kediaman mantap selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kami sudah melangkah ke hadapan dengan kesediaan 5G dan komited untuk melancarkannya sebaik sahaja spektrum disediakan dan kami juga akan terus mempertingkatkan pembabitan bersama pelanggan termasuk pelanggan individu, kediaman dan perniagaan,” katanya.

Keuntungan bersih Maxis dalam suku ketiga mencecah RM358 juta, berbanding RM513 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.

Untuk suku dikaji, hasil perkhidmatan Maxis meningkat 1.1 peratus kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.918 bilion suku terdahulu, disokong oleh prestasi teras yang berdaya tahan.

Ia mengekalkan kepimpinan dalam segmen pasca bayar, dengan ARPU bulanan tinggi sebanyak RM90 dan peningkatan pelanggan pasca bayar seramai 128,000 orang, membawa jumlah keseluruhannya kepada 3.2 juta pelanggan.

Katanya, segmen prabayar juga lebih kukuh dengan ARPU bulanan kekal tinggi pada RM41 melalui penggunaan aplikasi Hotlink RED yang kukuh sebanyak 61 peratus dan penggunaan data sebanyak 15.2 GB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 7:14 AM