LIZA (kanan) dan Nor Hamidah saling bertukar dokumen disaksikan oleh Samsudin (dua dari kiri).
hmdigital

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) untuk menawarkan kemudahan kewangan kepada vendor sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana di bawah Program Pembiayaan Vendor (VFP).

Naib Presiden Kanan Bagi Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Samsudin Miskon berkata, syarikat itu menyasarkan penyelesaian inovatif bagi manfaat bersama semua pihak yang dapat memacu pertumbuhan menyeluruh sektor minyak dan gas Malaysia.

“Kami amat menghargai semua sumbangan institusi kewangan dalam usaha kolektif dan holistik bagi menyokong vendor sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE).

“Pada masa sama, kami turut berbangga dengan keupayaan vendor yang tidak hanya dapat meneruskan usaha mereka ketika tempoh sukar, tetapi terus berdaya tahan dan mengemudi pertumbuhan perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain itu, menurutnya pihaknya turut menggesa kalangan kontraktor utama Petronas untuk memainkan peranan lebih penting bagi membantu subkontraktor mereka memperoleh kemudahan kewangan di bawah program pembiayaan itu.

Pada majlis hari ini, Naib Presiden Pemerolehan, Pelaksaan Projek dan Teknologi Kumpulan Petronas, Liza Mustapha dan Ketua Bahagian Perbankan Perniagaan Bank Muamalat, Nor Hamidah Abu Bakar saling bertukar dokumen MoU yang turut disaksikan oleh Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Khairul Kamaruddin.

Pemeteraian itu membolehkan vendor Petronas mempunyai akses pembiayaan sehingga RM5 juta bagi setiap permohonan daripada Bank Muamalat.

Produk-produk yang ditawarkan dalam program berkenaan meliputi kemudahan M-Cash, Surat Kredit dan Jaminan Bank.

Program Pembiayaan Vendor OGSE Petronas itu diwujudkan pada Mei 2018 bagi membantu kalangan vendor OGSE tempatan yang terjejas akibat krisis harga minyak untuk mendapatkan modal kerja selain memastikan aliran tunai mereka kekal terurus.

Setakat 31 Oktober 2019, sebanyak 111 permohonan berjumlah RM730.1 juta telah diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:32 AM