AMIROEL (dua dari kiri) pada majlis pelancaran kerjasama Enrich Miles dan Sunway Pals.
hmdigital

PETALING JAYA: Enrich Miles, program kesetiaan di bawah Malaysia Airlines menjalin kerjasama dengan Sunway Pals, program kesetiaan di bawah Kumpulan Sunway untuk menawarkan keistimewaan kepada ahli kedua-dua program berkenaan.

Melalui kerjasama ini, ahli Enrich Miles dapat menukar mata ganjaran yang diperoleh untuk menikmati keistimewaan yang disenaraikan bagi ahli Sunway Pals, manakala ahli Sunway Pals turut sama dapat menikmati pelbagai tawaran eksklusif diterima ahli Enrich Miles.

Ketua Kesetiaan dan Enrich, Amiroel Yussof berkata, kerjasama yang dijalin dengan Kumpulan Sunway secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan kepada ahli Enrich untuk menukar mata ganjaran diperoleh.

“Jika sebelum ini ahli hanya dapat menukar mata ganjaran itu dengan tiket penerbangan atau kunjungan ke lounge eksklusif, namun kini mereka berpeluang menikmati lebih banyak keistimewaan termasuk peluang membeli-belah di lebih 1,000 peniaga di pusat beli-belah kendalian Kumpulan Sunway, kunjungan ke taman tema, penginapan di hotel atau rawatan kesihatan di pusat perubatan kendalian Kumpulan,” katanya pada majlis pelancaran, di sini.

Menurutnya, ahli boleh melihat manfaat yang dapat dinikmati di laman rasmi kedua-dua program keahlian bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertukaran mata ganjaran.

Katanya, program pertukaran mata ini berlangsung dari 1 November lalu hingga 1 November 2021 dan pihaknya juga merancang menjalin kerjasama seumpama ini dengan lebih banyak pihak pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:08 AM