PEMILIK kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah berkaitan kenderaan mereka. FOTO Syarafiq Abd Samad
PEMILIK kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah berkaitan kenderaan mereka. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Bunyi angin berlebihan, bunyi jalan yang bising, masalah hubungan Bluetooth dengan peranti/telefon pintar dan masalah radio menjadi antara kerumitan utama yang membelenggu pemilik kenderaan baru di Malaysia.

Berdasarkan Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 oleh JD Power, pemilik kenderaan lebih muda iaitu di bawah umur 35 tahun melaporkan lebih banyak masalah berbanding mereka yang berumur 35 tahun ke atas dengan aduan masalah berkaitan ciri kawalan/paparan dan dalaman kenderaan.

Ia juga mendapati 49 peratus pemilik kenderaan yang tidak melaporkan masalah menyatakan mereka pasti akan mengesyorkan jenama dan model kenderaan mereka kepada orang lain.

Malah, satu pertiga daripada pemilik kenderaan baharu yang tidak mengalami apa-apa masalah dengan kenderaan mereka menyatakan pasti akan membeli balik buatan yang sama di masa depan.

Pengurus Negara Malaysia JD Power, E-Ling Cheah berkata, masalah yang dialami pemilik kenderaan baharu di Malaysia tahun ini didapati menurun berbanding tahun lalu.

“Punca utama penurunan terbabit disebabkan pengurangan masalah berkaitan proses pengilangan kenderaan.

“Kaji selidik itu mendapati jumlah masalah berkaitan dengan pengilangan berkurangan sepanjang tiga tahun lalu kepada 51 peratus tahun ini berbanding 74 peratus pada 2016,” katanya.

Katanya, pemilik kenderaan menunjukkan kepekaan berterusan kepada masalah berkaitan bunyi yang akan menjejaskan persepsi terhadap kualiti keseluruhan kenderaan mereka.

“Pengilang bukan saja harus meningkatkan proses pembuatan, tetapi perlu mengkaji semula panduan rekaan kenderaan bagi mengelakkan masalah ini dari terjadi di awal kitaran pemilikan kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kajian berkenaan dilakukan berdasarkan maklum balas daripada 1,904 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Julai 2018 dan Ogos lalu.

Malah, kajian ini turut membabitkan 50 model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti daripada 12 jenama serta dijalankan antara Mac dan Oktober lalu.

Berdasarkan kajian sama, model Honda Jazz mencatatkan kedudukan tertinggi bagi segmen kenderaan bandar kompak yang menerima anugerah tahap model bagi kualiti awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 6:47 AM