SYAKIR (dua dari kiri) bersama Khairul (dua dari kanan) menyaksikan majlis pertukaran MoU di antara Bank Muamalat dan Wahed Invest Malaysia yang diwakili Zury Rahimee (kanan) dan Pengarah Eksekutif Wahed Invest Malaysia, Mohd Izzat Fadhli. FOTO Hafiz Sohaimi
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyasarkan untuk meraih dana tambahan aset di bawah pengurusannya (AUM) sebanyak RM100 juta menjelang 2020.

Ketua Bahagian Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, sasaran berkenaan berdasarkan kerjasama strategik pihaknya bersama Wahed Invest Malaysia, platform pengurusan pelaburan digital berlesen patuh syariah.

Beliau berkata, Bank Muamalat sentiasa proaktif dalam mencari penyelesaian yang lebih berinovatif untuk dimanfaatkan semua pelanggannya.

“Sehingga kini, Bank Muamalat mempunyai AUM berjumlah RM3 bilion dan kami berharap dengan usaha sama ini, ia dapat menjana sekitar RM100 juta untuk dana tambahan AUM kami.

“Kami sentiasa mencari kaedah yang mudah untuk dimanfaatkan pelanggan dan berharap kerjasama strategik ini dapat membantu bank ini menyediakan saluran pelaburan digital lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Muamalat dan Wahed Invest Malaysia di sini, semalam.

Majlis MoU itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Ketua Serantau Asia Pasifik Wahed Invest Malaysia, Syakir Hashim.

Di bawah kerjasama terbabit, Bank Muamalat akan mempromosikan produk dan perkhidmatan Wahed Invest melalui saluran pengedarannya bermula suku pertama tahun depan.

Zury Rahimee berkata, Wahed Invest mempunyai kehadiran di lebih 138 negara dan usaha sama ini akan mempersiapkan Bank Muamalat dengan daya saing dalam mencapai keseimbangan dalam pengurusan hubungan pelanggan dan perancangan kekayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:02 AM