FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


KERAJAAN masih belum memuktamadkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak satu sen setiap minggu seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya membincangkan mengenai pelbagai perkara terutama pelaksanaan petrol subsidi bersasar.

“Kenaikan harga satu sen ini bukan perkara yang kita muktamadkan lagi, jadi semalam timbalan saya menjawab soalan tambahan, oleh itu dia menyebut mengenai cadangan kenaikan itu.

“Esok dalam mesyuarat jemaah menteri, saya akan memberi maklum balas ini dari masa ke masa, jadi apabila dipersetujui oleh jemaah menteri, barulah kita akan membuat pengumuman,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Kedai Mestra Petronas di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, jika terdapat kenaikan harga petrol, pihaknya perlu melihat apakah kesannya terhadap indeks harga pengguna dan inflasi.

Saifuddin berkata, penentuan asas harga petrol itu juga harus mengambil kira beberapa mekanisma antaranya kadar pertukaran mata wang asing dan harga minyak mentah pada masa itu.

“Oleh itu, saya ingin sebutkan balik terhadap perkara seperti yang dilaporkan oleh media, ia belum dimuktamadkan lagi.

“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menaikkan harga petrol ini dan bagaimana kita boleh mengetahui kesannya. Jadi kita perlu duduk bersama Jabatan Perangkaan dan mereka akan membantu dengan model simulasi,” katanya.

Beliau berkata, mengenai subsidi bersasar pula ia kekal seperti yang diumumkan pada Oktober lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan harga petrol RON95 akan diapungkan dan dinaikkan sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga (RON95) mencapai harga pasaran.

Katanya, apungan harga RON95 itu dibuat supaya kenaikannya tidak membebankan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 4:04 PM