HARIS Fadzilah (kiri) bersama Ketua Pengarah Kewangan FGV, Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid ketika sidang media di Wisma FGV.
Mahanum Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Pelan transformasi FGV Holdings Bhd (FGV) membuahkan hasil apabila berjaya mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasi operasinya, sekali gus dalam landasan betul untuk mencapai sasaran ditetapkan Lembaga Pengarahnya.

Pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terkemuka tempatan dan global itu menjangkakan prestasinya akan lebih baik tahun depan disokong tinjauan harga MSM yang lebih positif serta kemajuan ketara dari segi pengurusan kos dan produktiviti.

Harga MSM dijangka RM2,200 hingga RM2,400 setan pada suku keempat 2019 dan terus mengukuh pada separuh pertama 2020 dengan diunjurkan berlegar pada paras RM2,400 hingga RM2,800 setan.

Pada suku ketiga 2019, FGV mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) RM363 juta, semakin mengecil berbanding RM911 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam suku dikaji bagaimanapun meningkat kepada RM3.55 bilion, 11 peratus lebih tinggi berbanding RM3.19 bilion yang dicatatkan suku yang sama sebelumnya, disokong peningkatan prestasi operasi berikutan hasil yang tinggi dan kos yang rendah.

Pada suku ketiga 2019, purata harga MSM pada paras RM1,983 setan, yang mana 11 peratus lebih rendah berbanding purata harga MSM direalisasikan RM2,224 setan bagi suku ketiga 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pelan transformasi FGV jelas berhasil dibuktikan dengan peningkatan prestasi operasi yang ketara.

“Dengan harga MSM dijangka tinggi pada suku keempat, ia membawa petanda baik pada masa depan,” katanya mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga 2019 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 6:39 AM