TH kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi suku ketiga dan sembilan bulan pertama 2019 dipacu oleh strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemah.

Dalam satu kenyataan, TH berkata, bagi suku ketiga 2019, TH berjaya memperoleh pendapatan sejumlah RM900 juta menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat kepada RM2.1 bilion.

Menurutnya, pencapaian berkenaan dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) dan pelaburan instrumen pasaran wang Islam (RM300 juta).

“Keuntungan bersih juga meningkat kepada RM1.3 bilion dengan suku ketiga merekodkan keuntungan sebanyak RM500 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.

“Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil juga berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran ekuiti yang tidak menentu akibat ketegangan perang dagangan di peringkat global,” katanya.

TH berkata, pada 30 September 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion.

“Jumlah aset RM73.4 bilion manakala liabiliti adalah RM71.1 bilion.

“Lebihan aset ini didokong oleh rizab penyamaan hibah berjumlah RM400 juta dan keuntungan terkumpul berjumlah RM2 bilion yang boleh diagihkan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, kepercayaan serta sokongan pendeposit kepada TH sebagai institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh.

“Keyakinan berkenaan dibuktikan dengan jumlah simpanan pendeposit berada pada paras RM70 bilion pada 30 September 2019.

“Malah, sepanjang tiga bulan dalam suku ketiga 2019, lebih daripada 87,000 akaun simpanan baharu dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.43 juta,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, operasi Haji Musim 1440H/2019M selesai dengan ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia menerusi penerbangan MH8383 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 September lalu.

Secara keseluruhannya, TH berkata, operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini dan pada musim haji kali ini, kos keseluruhan yang ditanggung TH adalah sekitar RM300 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 6:43 AM