SKUTER premium jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia.
Lizam Ridzuan


PIAGGIO Group secara rasmi mengumumkan pelantikan pengedar sah skuter premium jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia yang baharu iaitu Didi Resources Sdn Bhd.

Pengerusi dan Pengarah Besar Piaggio Vietnam serta Naib Presiden Dua Roda Asia Pasifiknya Gianluca Fiume berkata lantikan ini sebagai salah satu strategi perniagaan untuk semua jenama di bawah kumpulan dikendalikan oleh satu entiti.

“Selain Piaggio dan Vespa, Piaggio Group juga mengeluarkan motosikal jenama Aprilia dan Moto Guzzi serta melalui konsep Motoplex ia lebih mudah ditawarkan kepada pelanggan di negara ini,” katanya dalam siaran akhbar pagi tadi.

Sementara itu Naza Premira Sdn Bhd mengumumkan penutupan operasi jenama motosikal premium skuter Vespa bermula 1 Januari 2020 selepas sembilan tahun sebagai pengedar jenama itu di negara ini.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata sejak Julai perbincangan mengenai perkara itu sudah diadakan bersama Piaggo Group dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan.

“"Kami akan terus menumpukan dalam mengukuhkan bidang perniagaan teras termasuk operasi pembuatan dan pengedaran automotif.

“Melalui dinamik perniagaan yang terus berkembang, kami mengutamakan jenama jualan yang berprestasi tinggi serta perlu kekal berdaya saing untuk trend pengguna yang sentiasa bertukar,” katanya dalam satu siaran media.

Naza Premira akan terus menerima servis motosikal, alat ganti, waranti dan khidmat selepas jualan kepada pemilik di lokasi pengedar terpilih sehingga hujung tahun ini.

Pengedar baru Vespa di negara ini, Didi Resources Sdn Bhd akan mengambil-alih hal berkaitan jenama skuter Itali itu bermula 1 Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 12:21 PM