AZMIN berkata FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, yang berjumlah RM72.21 juta untuk diagihkan sebagai keuntungan interim kepada peserta-peserta yang terbabit.
AZMIN berkata FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, yang berjumlah RM72.21 juta untuk diagihkan sebagai keuntungan interim kepada peserta-peserta yang terbabit.
Bisnes HM


FELCRA Berhad (FELCRA) akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 berjumlah RM50.54 juta kepada 67,000 peserta di seluruh negara bermula 15 Disember ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, yang berjumlah RM72.21 juta untuk diagihkan sebagai keuntungan interim kepada peserta-peserta yang terbabit.

“Manakala, baki 30 peratus akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira, sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, jumlah yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh FELCRA.

Sehingga kini, FELCRA bertanggungjawab untuk menguruskan 217,050 hektar bagi 110,733 peserta yang merangkumi kira-kira 1,510 projek di seluruh negara.

Katanya, dari segi perbandingan dengan bayaran agihan interim yang sama bagi tahun 2018, bayaran interim 2/2019 ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus atau RM25.27 juta.

“Penambahan ini disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang telah bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta sebagai tambahan bayaran sekali gus meringankan bebas kos sara hidup yang dihadapi peserta.

“Malah, FELCRA telah melaksanakan transformasi menyeluruh di dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17 peratus pada 2018 kepada 18.31 peratus bagi 2019,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pembangunan sektor pertanian adalah antara tumpuan kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjana pertumbuhan baharu dan mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara.

“Usaha ini merangkumi pengurusan ladang yang lebih efisien dan efektif supaya produktiviti tanah dapat ditingkatkan bagi menjana pendapatan dan menjamin keuntungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 1:15 PM