KERJASAMA Petron Malaysia, Boost dan GHL.
Oleh Nabil Basaruddin


PETRON Malaysia memperluas perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) di stesennya menerusi kerjasama strategik dengan peserta e-dompet utama di Malaysia, Boost untuk membolehkan pembayaran tanpa tunai dilaksanakan.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Boost dalam memberi lebih banyak pilihan pembayaran yang mudah dan selamat untuk pelanggannya, selain ganjaran dan promosi.

“Usaha itu juga selari dengan janji Petron Malaysia kepada pelanggan untuk memperkenalkan dan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang inovatif.

“Penerimaan orang ramai dan penggunaan e-dompet semakin pesat dan stesen servis kami lebih bersedia untuk memenuhi permintaan seumpama ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Petron bekerjasama dengan GHL Systems Bhd, syarikat pembayaran terkemuka di Malaysia dan Asean untuk memperkenalkan Boost di seluruh negara.

Kerjasama ini juga membolehkan pembayaran melalui semua e-dompet utama Malaysia seperti Goodkredit, Grabpay, Maybank QRPAY, MBSB, Mcash dan Touch ‘n Go serta e-dompet silang sempadan seperti Alipay dan Unionpay yang diterima di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, kerjasama dengan Petron membantu jenama e-dompet ini untuk memperluaskan jejak niaganya.

Menurutnya, ia juga selaras dengan matlamat Boost untuk memacu penggunaan tanpa tunai di negara ini.

“Kami percaya kolaborasi dengan Petron akan terus menggalakkan dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kemudahan tanpa tunai sebagai sebahagian daripada perbelanjaan harian mereka,” katanya.

Sempena kerjasama dengan Boost, Petron memberi ganjaran kepada pelanggannya yang mengisi minyak di stesen Petron melalui Kempen Spend & Win SURE ONG! iaitu kempen inovatif bertujuan memberikan ganjaran terbaik kepada pelanggan setia mereka.

Mulai sekarang hingga 31 Januari 2020, dengan perbelanjaan minimum RM50 menggunakan Boost, pengguna mendapat RM5 pulangan tunai terhad kepada dua pembayaran balik bagi setiap pengguna.

Selain itu, dengan setiap RM40 yang dibelanjakan di stesen Petron, ahli Petron Miles dan pengguna Boost akan mendapat satu cubaan dalam cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 12:35 PM