LOKE (tiga dari kiri) meninjau operasi penghantaran barang di Terminal 1 Kargo KLIA (LCCT), semalam.
hmdigital

KEMENTERIAN Pengangkutan berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengkaji semula caj kargo udara bagi memastikan kos perlu ditanggung pemain e-dagang lebih kompetitif.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ada beberapa caj perlu ditanggung syarikat e-dagang bagi penghantaran kargo namun pihaknya hanya bertanggungjawab untuk mengkaji caj yang dikenakan pengendali lapangan terbang.

“Ada caj dikenakan pengendali perkhidmatan kargo namun kementerian tidak akan menyentuh caj berkenaan. Sebaliknya, kami hanya mengkaji caj dikenakan pengendali lapangan terbang bagi memastikan pemain e-dagang menjalankan operasi dengan lebih kompetitif,” katanya.

Menurutnya, setiap produk kendalian pemain e-dagang yang keluar dari lapangan terbang dikenakan caj sekitar RM5 dan pihaknya berasakan ia tidak adil untuk pelanggan.

“Bukan semua barangan dihantar menggunakan kargo udara bernilai tinggi. Sebagai contoh, sehelai kemeja-T mungkin berharga antara RM30 hingga RM40 namun kosnya menjadi lebih mahal berikutan caj dikenakan bagi pengendalian kargo udara.

“Maka, kementerian akan kaji caj ini bagi memastikan kos keseluruhan dapat dikurangkan dan pemain e-dagang dapat bersaing dengan lebih baik,” katanya selepas merasmikan hab kargo udara Ground Team Red (GTR), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya menggalakkan pengendali kargo udara melihat potensi pasaran di Sabah khususnya bagi produk makanan laut.

“Ada permintaan kukuh untuk produk makanan laut dari Sabah dan ia satu peluang perniagaan lumayan.

“Pasaran di China dan Hong Kong tumpuan utama kerana ada produk yang mampu mencapai harga sehingga RM1,000 sekilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:20 AM