KHIM Wah (kiri) dan Leong Seng mengumumkan keputusan kewangan EcoWorld International bagi 2019, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin


ECOWORLD International Bhd (EcoWorld International) akan terus memberi tumpuan terhadap pasaran hartanah di United Kingdom (UK), terutamanya London bersandarkan kepada sentimen yang semakin bertambah baik di situ.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Teow Leong Seng berkata, pihaknya yakin dapat mencapai jualan hartanah sekitar RM5 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2020.

Beliau berkata, sasaran itu kebanyakannya bakal dipacu oleh 11 projek semasa di negara itu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar BP5 bilion (RM27.48 bilion).

“Kami percaya hartanah kami di UK berdasarkan kepada pasaran terbuka yang secara beransur-ansur mula menunjukkan pemulihan menjadikan keyakinan terhadap jualan di London.

“Prestasi cemerlang di London itu antara lain dibuktikan melalui peningkatan 67 peratus jualan bagi produk hartanah berharga bermula GBP500 hingga GBP800 untuk setiap kaki persegi dalam tahun kewangan 2019.

“Malah, segmen bina untuk sewa menunjukkan kemajuan baik menjadikan kami optimis memberi tumpuan terhadap pasaran di UK,” katanya pada sidang media di majlis pengumuman keputusan kewangan 2019 di sini, semalam.

EcoWorld International merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM118.8 juta pada suku keempat tahun kewangan 2018 bersandarkan kepada jualan hartanahnya di UK.

Syarikat itu turut meraih perolehan sekitar RM3.76 bilion pada tahun kewangan sama menerusi usaha sama di mana EcoWorld International memperoleh RM2.66 bilion melalui pegangannya.

Selain UK, syarikat itu mempunyai projek hartanah di Australia iaitu di Sydney dan Melbourne dengan perancangan melancarkan projek Macquarie Park pada tahun kewangan 2021.

Sementara itu, EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) yakin mencapai sasalan jualan RM6 bilion dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Oktober 2020.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, pencapaian terbabit bakal dipacu oleh sentimen belian menggalakkan yang dijangka berterusan tahun depan.

“Prestasi jualan meningkat dengan purata jualan bulanan RM383 juta dicatat dalam tempoh dua bulan terakhir tahun kewangan 2019 berbanding purata RM284 juta sebulan dari Mac hingga Ogos 2019 berikutan Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan (NHOC),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:24 AM