ZURY Rahimee. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZURY Rahimee. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
hmdigital

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad mengadakan majlis perjanjian kerjasama Ez-Zakat Muamalat dengan empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Sarawak, dan Pulau Pinang.

Ketua Divisyen Perbankan Konsumer, Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, sehingga kini Bank Muamalat sudah bekerjasama dengan tujuh negeri untuk kutipan dan potongan zakat secara automatik.

“Sebelum ini, kami telah menjalinkan kerjasama dengan Wilayah Persekutuan, Selangor dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ditawarkan di semua 65 cawangan Bank Muamalat seluruh negara.

“Kaedah kiraan dan potongan zakat yang akan digunakan adalah mengikut praktis Pusat Zakat Negeri.

“Dengan fasiliti ini, ia akan memudahkan pendeposit Bank Muamalat yang beragama Islam menunaikan kewajipan berzakat ke atas wang simpanan mereka.

“Malah, potongan zakat akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan nisab,” katanya.

Majlis perjanjian kerjasama itu disertai Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKPZ), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Dalam pada itu, menurutnya, perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila baru-baru ini meraih Anugerah Perkhidmatan Kreatif Atau Penilaian Produk 2019 daripada Islamic Retail Banking Award, Cambridge International Financial Advisory di Oman.

“Sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam, kami menjadikan Ez-Zakat Muamalat sebagai perkhidmatan ikonik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 6:58 AM
Digital NSTP Subscribe