LIM pada majlis taklimat Peluang Pasaran dan Tinjauan 2020 LBS.
LIM pada majlis taklimat Peluang Pasaran dan Tinjauan 2020 LBS.
Sofyan Rizal Ishak


LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju perbandaran terkemuka menyasarkan jualan RM1.6 bilion pada tahun ini disokong oleh permintaan positif terhadap projek baharunya untuk sepanjang 2020.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, syarikat merancang melancarkan hartanah bernilai RM2.321 bilion tahun ini dengan fokus kepada wilayah tengah membabitkan penambahan fasa baharu bagi projek yang sedang berjalan di [email protected], Alam Perdana dan Midhills 2.

Selain itu, projek lain adalah rumah satu tingkat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, unit berkembar dan rumah teres dua tingkat di Cameron Golden Hills, Cameron Highlands serta rumah mampu milik satu tingkat di Chemor, Perak.

“Secara keseluruhannya, kami bakal melaksanakan 11 projek baharu tahun ini dengan tujuh adalah projek hartanah berharga di bawah RM500,000 seunit dan bakinya hartanah berharga atas RM500,000,” katanya pada majlis taklimat Peluang Pasaran dan Tinjauan 2020 LBS di sini, semalam.

Setakat 31 Disember lalu, LBS memiliki 18 projek yang sedang berjalan dengan nilai pembangunan kasar RM4.5 bilion dan bank tanah pada masa akan datang dengan keluasan 3,630 ekar di sekitar kawasan Lembah Klang, Johor, Ipoh, Cameron Highlands, Gohtong Jaya dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, LBS melihat sasaran jualan 2020 itu boleh dicapai berikutan harga komoditi lebih baik seperti minyak sawit dan paras kadar faedah rendah yang akan membawa kepada pembayaran ansuran lebih rendah.

Beliau berkata, kajian pihaknya sebelum ini mendapati permintaan terhadap hartanah kediaman kekal utuh dengan lokasi dan harga menjadi faktor utama kepada pembeli hartanah.

“Berdasarkan corak permintaan itu, kami lebih fokus dalam melancarkan projek baharu bagi memastikan ia menepati selera dan permintaan pembeli hartanah di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:02 AM