SEBAHAGIAN kakitangan Media Prima Berhad menghadiri program temuduga terbuka di Wisma PERKESO. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SEBAHAGIAN kakitangan Media Prima Berhad menghadiri program temuduga terbuka di Wisma PERKESO. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sri Ayu Kartika Amri

SEBANYAK 3,056 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan di seluruh negara ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sempena penganjuran temuduga terbuka yang berlangsung hari ini dan esok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, antara sebab utama PERKESO menganjurkan temuduga terbuka itu adalah kerana terdapat banyak kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan tahun lalu.

Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan awam, pihaknya akan memastikan setiap pencarum yang terpaksa melalui fasa pemberhentian kerja tidak hanya dibantu melalui faedah kewangan tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan secepat mungkin.

“Selain itu, PERKESO akan membantu mereka melalui Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang mana pada 2019 sebanyak RM94.9 juta sudah diberikan kepada kepada 35,140 pencarum.

“Tahun lalu, seramai 40,048 pencarum telah membuat permohonan tuntutan faedah kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir di program temuduga terbuka untuk kakitangan Media Prima Berhad di Wisma PERKESO, semalam.

Mohammed Azman berkata, sempena sesi itu, sebanyak 1,052 jawatan kosong di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ditawarkan kepada kakitangan Media Prima yang terbabit dengan proses pemberhentian pekerja, baru-baru ini.

“Lebih 230 kakitangan Media Prima mengambil bahagian pada hari ini bagi sesi pagi di Wisma PERKESO dan kami telah menyediakan kakitangan yang mencukupi untuk memastikan semua proses berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, PERKESO turut menganjurkan temuduga terbuka secara mingguan, bulanan, bengkel kebolehkerjaan dan program Graduate Empowerment & School Leavers yang diadakan oleh SIP PERKESO dari masa ke masa.

Bermula 1 Disember 2018, bagi pekerja yang hilang pekerjaan dan sudah cukup mencarum minimum 11 bulan caruman, mereka layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal dan Elaun Pendapatan Berkurangan yang disediakan PERKESO.

Semua maklumat terkini boleh didapati di laman www.perkeso.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:52 PM