DR Noor Zari (kiri) dan Rosli (kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Musa (dua dari kiri) dan Izlyn, semalam.
Bisnes HM

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan unifi Travel Pass, SIM data berkelajuan tinggi tanpa had khusus untuk pelancong luar negara yang berkunjung ke Malaysia.

Pengerusi TM, Rosli Man berkata, produk baharu itu antara yang termurah di pasaran.

Katanya, unifi Travel Pass menawarkan SIM data berkelajuan tinggi tanpa had untuk pelancong kekal berhubung sepanjang berada di Malaysia.

“TM turut menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi memudahkan pelancong mendapatkan unifi Travel Pass.

“Sejajar dengan komitmen Tourism Malaysia untuk mencapai 30 juta kedatangan pengunjung pada tahun ini, kami berharap dapat memperkenalkan unifi Travel Pass kepada mereka yang berkunjung ke sini,” katanya pada sidang media pelancaran unifi Travel Pass di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli.

Unifi Travel Pass sedia untuk dibeli di mobile.unifi.com.my/travepass bermula Januari 2020.

Pelancong boleh memilih mengambil kad SIM mereka di Pusat Penerangan Pelancongan Tourism Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Selain itu, mereka boleh memilih sama ada pas tujuh hari untuk RM30 atau pas 15 hari bagi RM60 dan kedua-duanya menawarkan data 4G/3G berkelajuan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:01 AM