Orang ramai melihat model terbaru PROTON .
BERNAMA

PAD Motors Sdn Bhd, pengedar Proton di Brunei mencatat satu lagi kejayaan melalui pelancaran Proton Iriz, Saga dan Persona versi terkini baru-baru ini, selepas melancarkan Proton X70 pada Julai tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk menjadi jenama paling laris di Malaysia dan nombor tiga di Asean menjelang 2027.

“Pasaran eksport akan memainkan peranan penting dalam kenaikan jualan tahunan Proton. Ketika kami menaik taraf model Iriz, Persona, Exora dan Saga tahun lalu, kami melakukannya dengan turut mengambil kira keperluan pasaran di luar negara selain Malaysia dan hari ini, tiga daripada model berkenaan berada di pasaran Brunei,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan eksport pada 2020 selepas mencatatkan peningkatan jualan cemerlang tahun lalu iaitu sebanyak 55.7 peratus.

“Malah, Proton juga berjaya menamatkan tahun 2019 di kedudukan kedua dalam jadual jualan dan akan terus berusaha meningkatkan prestasi jualan tahun ini termasuk melalui eksport,” katanya.

Dalam pada itu, Chunrong berkata, Proton akan terus mengembangkan jualan Proton X70 khususnya dengan penghasilan di kilang tempatan.

“Melalui model versi 2020 yang mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim itu, syarikat kini mempunyai pilihan untuk memperluas lagi penjualan SUV berkenaan.

“Dengan memasarkan Proton X70 di pasaran luar adalah penting bagi pertumbuhan jualan PROTON pada masa akan datang, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan.

“Ia secara tidak langsung akan menerajui pengenalan model

PROTON generasi akan datang yang kini sedang dibangunkan bersama Geely dan sekaligus akan mendekatkan jenama syarikat dengan pelanggan di pasaran-pasaran berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:00 AM