Idham Nawawi.
BERNAMA

TEKNOLOGI Kawalan Sempadan Digital 5G Celcom Axiata Bhd diguna pakai di pelabuhan Langkawi susulan pelaksanaan penyelesaian Keselamatan Bandar Pintar 5G syarikat itu yang dibuat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, teknologi itu menawarkan sistem pengawasan keselamatan dipertingkatkan bagi kegunaan Lembaga Pelabuhan Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung dalam menjalankan operasi harian dengan lancar.

“Kawalan Sempadan Digital 5G Celcom membolehkan pandangan landskap pelabuhan Langkawi dibuat secara digital dengan penggunaan beberapa kamera 360 darjah panorama 4K definisi tinggi. Kamera berkenaan memanfaatkan kemampuan 5G yang berkelajuan tinggi serta memiliki kependaman yang rendah.

“Kemampuan ini apabila dipadankan dengan kecerdasan buatan dan perisian analisis video, membenarkan kawalan parameter keselamatan yang dipertingkatkan di seluruh kawasan pelabuhan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, kamera itu akan mewujudkan garis sempadan digital di sepanjang persisiran pantai ke dalam pelabuhan untuk mencegah penyeludupan dan pencerobohan.

“Ada pengimejan haba bagi memantau kawasan mudah terbakar termasuk pemantauan masa nyata ke atas kargo dan kapal berlabuh di luar pulau yang melebihi tempoh masa yang mungkin menyebabkan kebocoran hasil,” katanya.

Katanya, syarikat turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama di seluruh industri untuk menginovasi teknologi serta perkhidmatan 5G kerana ia akan terus meneroka penggunaan 5G yang akhirnya, boleh dimanfaatkan oleh perusahaan, pihak berkuasa, swasta dan awam sektor.

“Celcom akan terus bergerak seiring dengan negara dalam membawa aspirasi kerajaan menjadi kenyataan dan ketika negara mara memasuki Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), kami memberikan komitmen di Langkawi sebagai sumbangan dalam membangunkan ekosistem digital negara.

“Malah, Celcom yang juga rakan kongsi sambungan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang akan datang, berharap ini akan memberi peluang bagi menonjolkan inovasi dari syarikat Malaysia, terutamanya pemula niaga digital dan teknologi berkaitan IR 4.0 yang boleh membuka mata anggota delegasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:10 AM