SAIFUDDIN (tengah) bersama penaja Malaysia FIM2020 selepas Majlis Pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2020 (FIM2020).
Sri Ayu Kartika Amri

PERSATUAN Francais Malaysia (MFA) menerusi Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2020 (FIM) optimis menarik transaksi urus niaga bernilai RM450 juta.

Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan berkata, transaksi itu dijangka meningkat berbanding FIM tahun lalu yang merekodkan RM420 juta urus niaga.

“Kami yakin jumlah itu dapat dicapai terutama dengan adanya Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Selain itu, sektor makanan dan minuman (F&B) juga antara yang akan menjadi penyumbang terbesar untuk transaksi urus niaga terbabit,” katanya kepada media di prapelancaran FIM2020 di sini, semalam.

Hadir merasmikan majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Sementara itu, Saifuddin berkata, tahun lalu menyaksikan peningkatan dalam misi perdagangan francais.

“Kementerian menjalankan lapan misi perdagangan pada 2019 di bawah Program Pengembangan Francais dan Program Pembangunan Francais dengan nilai potensi pelaburan RM774.88 juta.

“Hingga 31 Disember lalu, RM23.19 juta pelaburan berjaya ditarik daripada jumlah potensi pelaburan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:01 AM